Wednesday, June 3, 2009

BuaT BaGi KeNa......KaT DePa


KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu kerajaan negeri Terengganu menyiasat dengan menyeluruh kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak runtuh awal pagi semalam, memandangkan bangunan itu baru dibina. Beliau berkata, perlu disiasat sama ada kerja yang dilaksanakan oleh kontraktor dan pengesahan bangunan stadium itu selamat digunakan, dibuat mengikut prosedur yang betul ataupun tidak. “Kerosakan sikit-sikit tu biasalah, tapi kalau runtuh sana, runtuh sini, ia tidak menggambarkan profesionalisme,” katanya pemberita selepas menutup Program Titian Gemilang V yang merupakan kursus motivasi bersepadu pelajar Sijil Pelajaran Malaysia 2009 anjuran Pertubuhan Alumni Kelab-Kelab UMNO Luar Negara di sini, semalam. Dalam kejadian pada jam 9.30 pagi semalam, hampir 60 peratus struktur bahagian bumbung stadium yang berharga RM270 juta yang dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei tahun lepas telah runtuh. Ditanya mengenai cadangan agar kerajaan membenarkan bekas ketua Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng pulang ke Malaysia atas dasar kemanusiaan, Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan kerajaan untuk tidak membenarkan Chin Peng pulang ke tanah air adalan tegas. “Hentikan debat mengenai Chin Peng dan komunis, terima keputusan Kabinet dan kerajaan dan hargailah wira-wira Malaysia yang terkorban akibat memerangi komunis,” katanya. Menurutnya, kerajaan tidak akan melayan cadangan dari mana-mana pihak untuk membangkitkan isu Chin Peng dan komunis. “Rakyat Malaysia harus sedar mengenai betapa zalimnya komunis, ramai orang yang meninggal dunia, ada yang menjadi orang kurang upaya, itu sudah jelas menunjukkan kezaliman mereka,” katanya. “Kalau keluarga anda yang terlibat, mesti ada perasaan marah,” katanya. Mengenai kemelut isu kepimpinan Parti Progresif Penduduk (PPP), Muhyiddin berkata, pegawai Pendaftar Pertubuhan (ROS) memaklumkan kepada beliau yang mereka memerlukan masa untuk menyediakan laporan lengkap. Katanya, ROS akan memaklumkan kepadanya dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak apabila laporan siap kelak. Mengenai masalah kekeliruan pengambilan pelajar baru Universiti Sains Malaysia (USM) yang menimbulkan rasa kurang puas hati ibu bapa dan pelajar terbabit, Muhyiddin berkata, beliau akan berjumpa Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohd Khaled Nordin dalam mesyuarat Kabinet untuk maklumat mengenainya.

No comments:

Post a Comment